Wednesday, 19 August 2015

Syair Bidasari 8 : Siti Bidasari membeli kipas Puteri


Segala pakaian semuanya ada
hanyalah kipas juga tiada
pergilah secara ayuhai Kanda
mintakan emas kepada Bunda

Kanda bangkit pergi berlari
mengadap saudagar dua laki isteri
serta mengangkat sepuluh jari
sahaya disuruh anakanda ke mari



Emas konon disuruhnya minta
hendak membeli kipas permata
dibawa dayang dari dalam kota
Tuan Puteri empunya harta

mendengar kata Puspa Sari
saudagar berkata kepada isteri
pergilah lihat oleh diri
timbangkan emas bawakan beri

Ia pun pergi diiringkan kanda
lalu duduk dekat anakanda
dilihatnya pakaian selengkapnya ada
baharu ditempa pahat bertanda

Isteri saudagar bijak laksana
datanglah pikiran amat sempurna
pekerjaan sapa gerangan sempurna
siapa taunya ada bencana

Bundanya berkata pada bidasari
janganlah dibeli kipas Kasuari
bukannya emas tidak kuberi
serupa ini boleh aku cahari

Biarlah bunda suruh tempakan
tukang emas kita upahkan
lebih dari ini bunda tatahkan
harta raja tuan pulangkan

Demikian Siti mendengarkan kata
ia menangis bermadah serta
jikalau bunda kasihkan beta
belikan sahaya kipas permata

Bundanya diam tidak berkata
belas kasihan di dalam cita
dipeluk dicium seraya berkata
diamlah Tuan emas juwita

kipas ini pun tidak bertapa
labih dari ini aku suruh tempa
berbagai jenis neka rupa
dengan kipas ini dapat serupa

Tersangat menangis Bidasari
dipeluk bundanya digusari
kipas dibeli tidak diberi
biarlah aku membunuh diri

didengar saudagar Lela Jauhari
bunyi menangis Bidasari
saudagar segera datang berlari-lari
diriba anaknya sepah diberi

Anakku Tuan jangan murka
janganlah nyawaku berhati duka
jikalau berapapun sekali harga
setimbang tuan aku beli juga

Anakku tidak dapat sahaja
berapa pula dengan puja
beberapa kandang habis belanja
diberi Allah Tuan ni hanya

berkata saudagar dayang ke sini
berapakah harganya kipas ini
berkata dayang Canda Mandini
jika dua timbang adakah berani

Saudagar tersenyum seraya berkata
beta pun makin tidak berharta
kehendak anak dengan air mata
lebih dari situ persembahkan beta

ditimbang emas lalu diberi
Dayang menyembah minta hai diri
serta datang menghadap puteri
tunduk menyembah sepuluh jari

Berkata puteri perlahan berbisik
adakah boleh diri selidik
dayang menyembah lakunya cantik
seraya berkata dapatlah patik

keempatnya masuk ke bawah penenggahan
berdatang sembah suara perlahan
berkat daulat yang berlimpahan
adalah Tuanku maksud perolehan

Beberapa kampung patik jalani
lapar dahaga patik tahani
telah berjalan kesana sini
hati yang takut jadi berani

Habislah patik jalani rata
seorang tak manis kepada mata
patik selidiki supaya nyata
hanyalah Tuanku molek dicita

Ada  sebuah kampung saudagar
terlalu kaya lagi pendekar
jalannya sulit terlalulah sukar
berlapis-lapis sasak dan pagar

Ialah ada seorang putera
parasnya elok tidak bertara
paras laksanana bidadari Indera
barang yang memandang kasih mesra

Demikian rupa Bidasari
tidak berbanding di dalam negeri
parasnya elok bijak bestari
namanya Encik Siti Bidasari

Jikalau dipandang Paduka Kakanda
gila berahi di dalam dada
pasti diambil akan isteri yang muda
menghabiskan kasih hati Baginda

Kecik moleh badannya nipis
cantik molek petah menjelis
anak rambutnya melentik wilis
Bagai Galuh Ratna Wilis

Sungguhpun ia anak saudagar
dengan anak menteri tidak  tertukar
dahinya seperti sehari bulan
penuh tambur bertimbalan

Jikalau tuanku ambilah taulan
manis beriringi dua sejalan

Jikalau sudah ia tersenyum
seperti serbat akan diminum
jikalau ditentang Sultan Anom
mabuk berahi khayal tak minum

bertelekan lentik terlalulah beda
lengannya seperti panah Ranjuna
wajahnya seperti bulan purnama
putih kuning sepah mengerna

Elok tak dapat lagi dikata
laksana gambar di dalam peta
jikalau terpandang kakanda mahkota
gundah gulana di dalam cinta

Cantik menjelis bukan kepalang
wajah berseri gilang gemilang
pinggannya ramping lehernya jenjang
tubuhnya sederhana dadanya bidang

Menjelis tak  dapat diperikan
barang yang melihat heran terpegan
gila berahi kenyang tak makan
laksana gambar dipetakan


bersambung ke Bab 9

0 komentar:

 

Cerita dan Legenda Rakyat Dunia © 2008. Design By: SkinCorner

Wilujeng Sumping

Selamat datang di blog saya, warnanya ceria seceria kisah yang akan disajikan :D "Dalam setiap kisah selalu terselip pelajaran hidup yang berharga"
Flag Counter